|
Segalanya
bermula dengan satu impian dan satu wawasan.

Konsep
penubuhan sebuah Pusat Sains Negara (PSN) telah diilhamkan
pada awal tahun 1980an. Majlis Penyelidikan dan Kemajuan
Sains Negara (MPKSN) memainkan peranan penting dalam
usaha mengkonsepsikan penubuhan sebuah Pusat Sains Negara,
yang mana objektif cadangan pembinaannya adalah untuk
mewujudkan kesedaran dan kefahaman Sains dan Teknologi
di kalangan rakyat Malaysia. Memandangkan penubuhan
sebuah Pusat Sains dengan segala keperluan merupakan
satu cabaran yang memerlukan penyelidikan dan perancangan
yang rapi, maka dicadangkan penubuhan sebuah Pusat Sains
sementara sebagai satu langkah interim. Bagi tujuan
tersebut, sebuah rumah kerajaan di alamat JKR 641, Jalan
Kelantan, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur telah diubahsuai.
Pada 5 April 1986, Pusat Sains sementara telah dibuka
secara rasmi oleh YB Datuk Amar Stephen Yong merangkap
Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar ketika itu.
Sejak penubuhannya, Pusat Sains sementara telah menambah
koleksi bahan pameran, yang sebahagian besarnya adalah
daripada suatu pameran bergerak.
 
Impian mula menjadi kenyataaan pada tahun 1990 apabila
projek Pusat Sains Negara telah diluluskan di bawah
Rancangan Malaysia Ke-5 untuk dilaksanakan di bawah
Rancangan Malaysia Ke-6. Kerja pembinaan bangunan dan
insfrastruktur asas bermula pada November 1991. Pada
27 Februari 1992, Encik Abdul Ghafar Baba selaku Timbalan
Perdana Menteri Malaysia ketika itu, telah merasmikan
tapak projek Pusat Sains Negara di Bukit Kiara, Kuala
Lumpur. Kerja pembinaan diteruskan dan siap pada November
1993. Projek pembinaan akuarium terowong pula bermula
pada September 1993 dan siap sepenuhnya pada Ogos 1994.
Rekabentuk bangunan Pusat Sains Negara yang unik menyerupai
sebuah kon yang terpotong kemuncaknya dan ditutupi dengan
sebuah kubah geodesik. Rekabentuk ini merupakan bukti
daya kreatif dan inovatif Jabatan Kerja Raya yang juga
merupakan agensi pelaksanaannya.

Pusat ini dilengkapi dengan Sistem Pengurusan Bersepadu
(IBMS) dan mempunyai dua aras ruang galeri pameran dengan
keluasan 6,717.6meter persegi. Di Pusat ini terdapat
sebuah perpustakaan multimedia, sebuah makmal sains,
tiga buah bengkel, dua auditorium dan sebuah dewan serbaguna.
Kawasan persekitaran Pusat Sains bertemakan lanskap
pendidikan dan ciri utama lanskap adalah kolam ekologi,
taman herba dan taman permainan kanak-kanak. Bahan pameran
yang terdapat di lanskap Pusat Sains Negara bertumpu
kepada sains fizikal dan biologikal serta saling melengkapi
bahan pameran yang terdapat di galeri pameran.
Serentak dengan proses pembinaan bangunan, bahan pameran
sains beriteraktif telah direkabentuk oleh pakar tempatan
dan luar negeri. Kerja fabrikasi bahan pameran bagi
Aras 1 bermula pada Ogos 1994 dan siap pada Mei 1995,
manakala kerja fabrikasi bahan pameran Aras 2 pula bermula
pada Oktober 1995 dan siap pada September 1996. Bagi
memastikan bahan pameran sentiasa selaras dengan kemajuan
Sains dan Teknologi, Pusat ini bercadang untuk menaikkan
taraf bahan pameran yang sedia ada secara berterusan
supaya pengalaman para pengunjung sentiasa bertambah.
Selepas satu dekad beroperasi, Pusat Sains sementara
telah ditutup secara rasmi pada 15 April 1996.
Hari ini, impian kita menjadi kenyataan.

Pusat Sains Negara telah dirasmikan oleh YABhg. Tun Dr.
Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia pada
29 November 1996, di mana terdapat pelbagai bahan pameran
yang direka khas bagi tujuan merangsang, menarik dan
menggalakkan pelawat untuk menaruh minat yang tinggi
di dalam bidang sains dan teknologi. Bahan pameran telah
dikategorikan kepada dua kumpulan iaitu Sains Asas dan
Teknologi, yang terletak di galeri-galeri tertentu berdasarkan
tema yang tersendiri. Secara keseluruhan konsep yang
ingin diketengahkan oleh Pusat ini adalah untuk menghubungkan
sains dan alam sekitar dengan agama, serta untuk mengaitkan
sains dengan aspek kehidupan, pengetahuan dan aplikasinya
di dalam aktiviti harian.
|