Jerebu tidak halang 350 pelajar rai World Environment Day

KUALA LUMPUR – Negara yang kini dilanda jerebu untuk minggu kedua, tidak menghalang 350 pelajar meraikan World Environment Day yang berlangsung hari ini, di Pusat Sains Negara.

Aktiviti bagi pelajar yang menyertai program ini tetap diteruskan, namun terpaksa dijalankan di dalam bangunan Pusat Sains Negara, apabila Indeks Pencemaran Udara, (IPU) merekodkan bacaan sangat tidak sihat hari ini.

Walaupun aktiviti terpaksa dipindahkan ke dalam bangunan PSN, ianya tetap berjalan dengan meriah, apabila semua aktiviti pertandingan berjaya diselesaikan oleh semua pelajar yang mengambil bahagian.

World Environment Day yang dianjurkan oleh Jungle Ambassador dan Pusat Sains Negara ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan murid serta masyarakat akan kepentingan alam sekitar dalam kehidupan harian.

Malah, pelajar berpeluang untuk membuat ramalan mengenai indeks udara melalui data Jabatan Alam Sekitar, selain memberi kemahiran kepada pelajar penggunaan aplikasi GeoTrees dengan lebih berkesan.

Maka, program ini sebenarnya bertepatan dengan situasi negara kita pada hari ini yang diselubungi dengan jerebu, sekaligus memberi kesedaran di peringkat awal tentang pentingnya penjagaan alam sekitar.

Pada program kali ini juga, pelajar turut didedahkan dengan penghasilan kolaj menggunakan bahan kitar semula, untuk memupuk kreativiti pelajar bagi menghasilkan sesuatu yang bermanfaat daripada bahan yang boleh dikitar semula.