WOW! LET’S BLEW-UP THE SCIENCE!- Gemparkan Pusat Sains Negara

Bukan dua, bukan empat, tetapi enam eksperimen sains berskala besar berlangsung di Pusat Sains Negara (PSN) pada Ahad lalu, bersempena dengan Hari Pusat Sains dan Muzium Sains Sedunia.

Kebetulan pula, sambutannya yang jatuh pada hari Ahad iaitu cuti hujung minggu, bukan main ramai lagi adik – adik kita yang ditemani ibu bapa berkunjung ke PSN semata – mata ingin menyaksikan eksperimen sains yang bertemakan Wow!! Let’s Blew-Up the Science!

Dengar sahaja tema, sudah pasti eksperimen sains yang dikendalikan oleh kakak – kakak dan abang – abang di PSN ini ada kaitan dengan letupan. Ya memang betul, eksperimen sains kali ini hampir keseluruhan berkaitan dengan letupan dan api!

Dengar perkataan letupan dan api macam bahaya, tetapi tidak perlu takut sebenarnya, kerana mereka yang mengendalikan eksperimen ini, semua berpengalaman. Malah, aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan PSN.

Sebaik sahaja bermula, pengunjung dihidangkan dengan eksperimen bunga api, dimana serbuk besi iaitu kuprum, barium klorida, zink dan magnesium dicampak ke dalam bikar yang dinyalakan api, sekaligus menghasilkan percikan api berwarna, sehinggakan adik – adik yang melihat tak kelipkan mata! Teruja sungguh mereka.

Eksperimen seterusnya berkenaan dengan warna dan ais kering. Apa kaitan kedua – dua bahan ini? Ais kering apabila dicampurkan dengan larutan seperti kobis ungu, indigo carmine, phenolphthalein, bromothymol blue akan bertindak balas dengan perubahan warna kepada kuning kehijauan, biru, merah jambu dan tidak berwarna. Menarik bukan?

Eksperimen seterusnya ada kaitan dengan pembakaran. Mesti ramai tidak tahu sebenarnya tepung kastard boleh menghasilkan api. Ya, menghasilkan api!

Apabila kastard yang merupakan serbuk mudah terbakar bercampur dengan udara beroksigen dan kemudian bertemu dengan sumber penyalaan mampu untuk menghasilkan letupan. Tindak balas kimia antara serbuk kastard dan api juga boleh menghasilkan letupan besar.

Pernah lihat silap mata tangan terbakar? Ada yang dakwa mereka boleh memegang api. Tetapi, kita ingin terangkan bahawa itu sebenarnya bukan silap mata, tetapi ia ada kaitan dengan sains.

Sebenarnya apa yang berlaku ialah gas butana yang mudah terbakar dicampurkan dengan larutan sabun. Larutan air digunakan sebagai penebat haba, manakala buih sabun yang terhasil digunakan untuk memerangkap gas butana yang merupakan sumber pembakaran.

Jadi, apabila kru eksperimen PSN menyalakan api di tangan masing – masing, mereka langsung tidak merasakan haba yang terhasil daripada gas butana tersebut. Sekarang anda dah tahu rahsia ahli silap mata, tapi jangan pula sesekali cuba di rumah ya. Eksperimen ini hanya boleh dilakukan mereka yang berpengalaman sahaja.

Eksperimen yang seterusnya ialah tentang cecair nitrogen. Pengunjung dapat melihat gas yang terhasil apabila air panas dituangkan ke dalam cecair nitrogen. Air panas bertindak sebagai pemangkin untuk cecair nitrogen berubah daripada fasa cecair kepada fasa gas dengan sekelip mata.

Saat yang ditunggu – tunggu oleh pengunjung, iaitu eksperimen ping pong rain. Kedengaran agak pelik, tetapi itulah yang terjadi pada Hari Pusat Sains dan Muzium Sains Sedunia apabila ribuan bola ping pong menghujani PSN.

Apa sebenarnya yang berlaku? Bola ping pong dimasukkan ke dalam bekas yang berisi air panas dan cecair nitrogen, tidak sampai lima saat, bekas tersebut meletup, menyebabkan bola ping pong tersebut melayang ke udara, maka terhasilah hujan bola ping pong!

Kenapa ia boleh jadi sedemikian? Pada asasnya, cecair nitrogen mengembang sangat cepat daripada cecair ke gas, maka meletakkan nitrogen ke bekas yang kecil menyebabkan tekanan yang tinggi di dalam bekas.

Apabila bola ping-pong dituangkan di atas, bahan kimia itu mendidih pada -196˚c, akan menghasilkan kesan letupan yang menyebabkan bola ping pong tersebut berterbangan ke udara. Menarik Bukan?

Sangat rugi kepada mereka yang terlepas eksperimen sains berskala besar yang diadakan di PSN pada Ahad lepas. Tapi, tidak mengapa, kerana setiap hari kecuali pada hari Jumaat, PSN ada menjalankan eksperimen sains pada pukul 12 tengah hari dan 3 petang. Jadi apa tunggu lagi? Jom ke PSN!

Terdahulu