NATIONAL TINKERING CHALLENGE 2020: KOMUNITI MAMPAN

KUALA LUMPUR: Pusat Sains Negara Kuala Lumpur (PSNKL) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan PERTANDINGAN NATIONAL TINKERING CHALLENGE 2020 yang bertemakan KOMUNITI MAMPAN.

Objektif pertandingan ini adalah untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat terhadap kepentingan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) tentang “tinkering”. Tambahan pula, penganjuran pertandingan ini dapat menggalakkan pelajar mengaplikasikan STEM secara kreatif, kritis dan inovatif ke arah peningkatan kualiti kehidupan harian.

Tinkering dari segi bahasa adalah menambahbaik manakala dari segi istilah adalah perbuatan yang menggambarkan aktiviti berkreativiti, merekabentuk dan menambahbaik sesuatu benda. Contohnya, merekabentuk sesuatu produk dari bahan terpakai, membina mesin ringkas, merekacipta mekanikal atau elektrikal, mencetak 3D, mengaturcara robotik dan arca seni.

Peserta yang menyertai pertandingan ini perlu menghasilkan projek yang bertemakan Komuniti Mampan berdasarkan salah satu daripada 5 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan. Antaranya ialah, Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, Pendidikan Berkualiti, Air Bersih dan Sanitasi, Tenaga Berpatutan dan Bersih, dan Bandar dan Masyarakat Mampan.

Pertandingan ini terbuka kepada pelajar warganegara Malaysia yang terdiri daripada sekolah rendah dan sekolah menengah bersektor awam dan swasta, vokasional dan pendidikan khas. Penyertaan adalah secara berkumpulan yang terdiri daripada tiga orang pelajar dan seorang penyelia.

Penyertaan telah dibuka sehingga 30 September 2020 dengan yuran kemasukan percuma. Sebanyak 112 kumpulan telah didaftarkan dengan penghantaran Projek Fizikal, Laporan serta Video Projek di tinkering@psn.gov.my. Setiap kumpulan akan mengharungi sebanyak dua saringan, iaitu pada 21 dan 22 Oktober 2020.

Kumpulan yang berjaya melepasi saringan kedua berpeluang memenangi hadiah lumayan wang tunai mengikut kategori masing-masing yang akan diadakan pada 4 November 2020.

Untuk maklumat lanjut, sila layari pautan laman web PSN www.psn.gov.my/ntc.

Terdahulu