Pusat Sains Negara berubah menjadi alam fantasi

Tidak dinafikan sesiapa sahaja ketika di zaman kanak – kanak akan mengimpikan untuk berada di alam fantasi, penuh dengan keceriaan dan kegembiraan yang tidak boleh diungkapkan dengan kata – kata.

Segalanya menjadi realiti apabila Pusat Sains Negara (PSN) dan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) berganding bahu menjayakan Hari Pediatrik untuk anak – anak istimewa bertemakan Enchanted Forest pada 30 November lalu.

Anak – anak ini dipakaikan dengan pakaian bertema seperti ahli sihir, pari – pari, haiwan, dan sebagainya selari dengan tema untuk membawa pengalaman berada di alam fantasi sambil menerapkan unsur Science, Technology, Engineering dan Mathematics (STEM).

Objektif utama penganjuran aktiviti ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada kanak – kanak kepada Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) di peringkat lebih awal, sekaligus dapat memupuk minat mereka terhadap sains.

Program pada hari berkenaan diisi dengan pelbagai aktviti untuk lebih 400 kanak – kanak dari HRC antaranya, pertunjukkan sains, Let’s experiment, dan banyak lagi.

Bukan aktiviti sahaja, malah kanak – kanak ini turut berpeluang memenangi hadiah yang sangat menarik untuk pakaian bertema selain cabutan bertuah yang telah disediakan oleh HRC.

Program itu telah disempurnakan oleh Pengarah HRC, Dr Roslan Johari Mohd Ghazali dan Marziana Abd Halim, Ketua Penolong Pengarah yang mewakili Pengarah PSN.