Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali ke Pusat Sains Negara.

KUALA LUMPUR – Merasmikan bangunan Pusat Sains Negara 23 tahun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi hadir ke bangunan ikonik negara ini, untuk merasmikan Minggu Sains Negara yang bermula dari 1 hingga 7 April 2019.

Ia mengimbau kembali usaha kerajaan ketika itu yang mahu menjadi peneraju kepada sebuah institusi pembelajaran tidak formal, sekaligus dapat meningkatkan minat, penghargaan dan kefahaman orang ramai terhadap Sains dan Teknologi demi peningkatan ilmiah rakyat Malaysia.

Pada majlis perasmian yang berlangsung pada 2 April lalu, ia turut dihadiri oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Mestecc, Yeo Bee Yin dan Ketua Setiausaha Mestecc Datuk Seri Dr. Mohd Azhar bin Hj. Yahaya.

Dalam ucapan Tun Dr. Mahathir, beliau menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya menguasai ilmu Sains agar dapat bersaing dengan negara luar dari segi teknologi, selain untuk manfaat kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa, jika rakyat Malaysia tidak mengambil berat tentang ilmu Sains, kelak negara akan ketinggalan dari pelbagai aspek termasuklah pertahanan negara.

Terdahulu, beliau merasmikan galeri baharu Pusat Sains Negara, Science Valley yang mula dibuka kepada orang ramai pada 3 April 2019.

Selain di Kuala Lumpur, Minggu Sains Negara fasa 1 turut berlangsung serentak di negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak sehingga hujung minggu ini.

Terdahulu