95% kes keracunan cendawan akibat kecuaian

Kurangnya pengetahuan terhadap cendawan beracun, boleh membawa kepada malapetaka dan lebih membimbangkan ia berupaya menyebabkan kematian.

Pada tahun 2018, kes keracunan cendawan mencatatkan angka lebih 130 kes berbanding tahun sebelumnya, hanya 20 kes yang dilaporkan, ujar Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Mohd Hanif Zailani.

Lebih membimbangkan, beliau turut menjangkakan angka itu akan meningkat pada tahun ini, disebabkan mangsa tidak begitu arif dalam pemilihan cendawan.

“Tahun ini pun naik bertambah juga (kes keracunan) kepada dua kali ganda, tetapi angka tersebut belum rasmi lagi. Kebiasaanya kes akan meningkat pada hujung tahun, dimana negara mengalami musim hujan dan banyak cendawan akan tumbuh.” ujar Dr. Hanif.

Katanya lagi, kes keracunan cendawan terkini, berlaku di Kota Marudu, Sabah melibatkan lapan orang dari dua keluarga yang dipercayai tidak mengetahui cendawan dimakan adalah jenis beracun.

“Ada kes berlaku di luar bandar dan di bandar, malah mangsa yang mengalami keracunan, mereka memetik (cendawan) untuk kegunaan sendiri di tepi – tepi jalan sehingga menyebabkan ahli keluarga lain turut menjadi mangsa keracunan,” katanya.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Tan Yee Shin dari Pusat Penyelidikan Cendawan, Universiti Malaya memaklumkan, punca berlakunya keracunan apabila mangsa tidak dapat membezakan antara cendawan busut ataupun nama saintifiknya Termitomyces yang tidak beracun dan cendawan beracun dari spesies Chlorophyllum molybdites.

“Mangsa tidak dapat membezakan antara cendawan ini kerana pada peringkat awal pertumbuhan, bentuk fizikal kedua – dua cendawan adalah serupa. Kalau orang yang tidak berpengalaman, kebarangkalian untuk mendapat keracunan adalah tinggi.” katanya.

Katanya lagi, toksik yang ada pada cendawan spesis Chlorophyllum molybdites akan menyebabkan gastrointestinal irritants iaitu mangsa akan mengalami gejala muntah – muntah, cirit – birit namun tidak membawa maut.

Tetapi, kesan toksik cendawan itu adalah bergantung kepada ketahanan badan seseorang individu itu, kerana terdapat kes keracunan sehingga menyebabkan kerosakkan buah pinggang mangsa, dan lebih teruk kes kematian.

Beliau yang ditemui di Pusat Sains Negara (PSN) turut menegaskan untuk menangani kes ini, masyarakat perlu mempunyai kesedaran tentang bahaya keracunan cendawan, dan katanya lagi, cendawan yang selamat dimakan adalah cendawan yang dijual di pasar raya.

“Kita ingin ingatkan bahawa mitos kononnya cendawan yang dimasak dengan halia selamat untuk dimakan, adalah tidak benar sama sekali. Malah cendawan yang dimakan oleh binatang mahupun serangga belum tentu selamat dimakan oleh manusia.” ujar beliau.

Dr. Mohd Hanif Zailani dan Prof. Madya Dr. Tan Yee Shin ditemui di PSN selepas mengadakan sesi perkongsian ilmu sempena dengan School’s Out Kids In (SOKI) iaitu program cuti sekolah pada 24 November 2019.

Terdahulu