NMST Bangladesh intai peluang kerjasama dengan PSN

KUALA LUMPUR – National Museum of Science and Technology Bangladesh menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Pusat Sains Negara dalam usaha untuk mempertingkatkan fasilitinya setanding dengan negara – negara lain.

Hasrat itu dinyatakan sendiri oleh Penolong Kuratornya, Muminur Rashid yang mahu kerjasama tersebut direalisasikan pada masa akan datang untuk kebaikkan kedua – dua Pusat Sains sebagai destinasi pembelajaran tidak formal subjek Sains dan Teknologi.

“Kerjasama yang boleh kita lakukan termasuklah pertukaran bahan pameran, program pertukaran pegawai dan pertukaran idea tentang sains masa kini yang boleh dimanfaatkan kedua – dua belah pihak,” ujar Muminur.

Katanya lagi, NMST Bangladesh dalam peringkat menaik taraf bahan pameran serta aktiviti untuk memberikan lebih banyak maklumat terkini berhubung sains kepada pengunjung yang datang ke muzium sainsnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sains Negara, Mismah Jimbun memaklumkan, PSN sentiasa membuka pintu kepada mana – mana pihak mahupun dari dalam atau luar negara untuk bekerjasama bagi menambah baik PSN.

“Bahan pameran, modul dan aktiviti kita antara yang terbaik di rantau ini, jadi tiada masalah kepada mana – mana pihak ingin berkongsi pendapat atau idea untuk memastikan pusat sains dijadikan pilihan utama oleh rakyat untuk mendapatkan maklumat berkenaan sains dan teknologi,” ujar Mismah.

Malah, aktiviti melawat ke pusat sains perlu dijadikan sebagai rutin dan budaya kepada masyarakat agar mereka lebih memahami dan meminati sains dan teknologi yang semakin berkembang mutahir kini.

Seramai 6 orang delegasi dari NMST Bangladesh yang diketuai oleh Penolong Kuratornya, Muminur Rashid mengadakan lawatan rasmi ke PSN Kuala Lumpur semalam.

Pertemuan hampir 2 jam itu banyak membincangkan tentang kerjasama yang boleh dijayakan antara PSN dan NMST Bangladesh, serta pertukaran idea untuk menarik lebih ramai pengunjung bagi memupuk minat terhadap sains dan teknologi.

Terdahulu