Nutripot: Tanaman tanpa tanah

Apabila duduk di bandar – bandar besar seperti di Kuala Lumpur, maklum sahajalah, tanah untuk bercucuk tanam pun sukar untuk dijumpai, lebih – lebih lagi jika duduk di kondominium dan pangsapuri. Kalau di kampung, tanam sahaja apa yang dihajatkan.

Tetapi jangan bimbang, penduduk di bandar kini sebenarnya boleh bercucuk tanam, walaupun kediaman anda berada di tingkat paling atas di kondominium, mahupun pangsapuri. Yang penting, jika ada kemahuan, disitu ada jalan.

Baru – baru ini, Jabatan Pertanian singgah di Pusat Sains Negara untuk menerangkan tentang penanaman dan penjagaan tanaman sayuran menggunakan teknologi Nutrien Film Technique (NFT). Teknologi NFT ini sebenarnya teknik nutripot tanpa melibatkan sebarang penggunaan tanah. Menarik bukan!

Sebagai ganti kepada tanah, sabut kelapa digunakan sebagai medium tanaman, selain daripada baja dan air sekaligus dapat mengurangkan penggunaan tanah yang kadang – kala memberikan kerumitan kepada meraka yang tidak mempunyai ruang yang sesuai untuk bercucuk tanam.

Lebih menarik, tanaman yang menggunakan teknik ini, tidak memerlukan penjagaan serta pemantauan yang khusus seperti tanaman yang menggunakan teknik biasa.

Program yang berlangsung selama satu hari ini, dihadiri lebih 30 peserta dari Pusat Sains Negara sendiri.

Kepada yang baru pertama kali mendengar nutripot ini, mereka diberikan pengenalan bagaimana ianya berfungsi. Turut dikongsikan oleh pegawai dari Jabatan Pertanian ini ialah penyediaan bekas semaian sehinggalah kaedah penjaaan tanaman ini, dan dilakukan secara hands on.

Jadi, selepas ini tiada lagi alasan untuk tidak bercucuk tanam. Bukan apa, menghasilkan sayuran untuk kegunaan sendiri sebenarnya lagi menyeronokkan berbanding kita membeli di luar. Tidak salah kalau kita berbudi kepada tanah, eh! berbudi kepada sabut kelapa pun boleh juga!

Terdahulu