PSN SCIFEST – MENUTUP KALENDAR AKTIVITI PERKASA STI UNTUK TAHUN 2022

KUALA LUMPUR: Aktiviti pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara diteruskan sehingga penghujung tahun 2022 dengan lebih 50 aktiviti menarik dijalankan melalui PSN SCIFEST 2022 di Pusat Sains Negara Kuala Lumpur bemula 14 hingga 15 November 2022 lalu.

Menariknya pada tahun ini, ia dilaksanakan secara fizikal dan dalam talian, berbanding edisi tahun 2021, yang dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian melalui kesemua platform media sosial Pusat Sains Negara akibat pendemik Covid-19. Membawa tema “STI Memperkasa Masa Hadapan”, PSN komited untuk terus menjadi peneraju kepada pendidikan tidak formal dalam STI yang menarik, dengan menyediakan pelbagai aktiviti selari dengan kehendak masa kini.

Antara aktiviti yang disediakan kepada pengunjung di PSNKL yang turut menjadi tumpuan ialah Metaverse, Meet Your Robot, Gamifikasi STEM, Kids Corner, Cabaran Dron dan Jelajah Alam. Manakala bagi aktiviti dalam talian pula ialah 360 Science Tour, Bengkel Interaktif STEM dan banyak lagi khas untuk pengunjung yang tidak berpeluang hadir secara fizikal ke PSNKL.

Pada 14 November lalu berlangsung majlis pelancaran PSN SCIFEST 2022 yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan, pelbagai program pembudayaan STI akan diteruskan bagi meningkatkan literasi STI, seterusnya menyumbang kepada kelahiran modal insan yang mahir dalam bidang teknologi masa hadapan.

“Inisiatif untuk melahirkan generasi berteknologi tinggi dan minat dalam bidang STI ini telah dilaksanakan secara berterusan menersi sebuah institusi pembelajaran bukan formal iaitu PSN.”

Katanya lagi, transformasi dan adaptasi teknologi digital dalam penyampaian program pendidikan serta pameran interaktif telah menjadikan PSN sentiasa dinamik, terkini, dan memenuhi ekspektasi masyarakat.

Sementara itu, dalam ucapan aluan Pengarah PSN, Puan Mismah Jimbun memaklumkan, bagi memastikan inisiatif yang telah ditetapkan oleh kerajaan itu tercapai, pelbagai pengisian terkini yang dinamik serta intrend akan diperbanyakkan lagi pada tahun-tahun mendatang.

“Sehingga kini, PSN SCIFEST telah menarik penyertaan lebih 3 juta anggota masyarakat sejak penganjurannya bermula tahun 2011. PSN SCIFEST 2022, menyasarkan penyertaan seramai 1 juta orang secara fizikal dan maya menerusi platform media sosial PSN dan aplikasi webinar.”

Ujarnya dalam menutup ucapan, PSN akan sentiasa menarik minat dan memberi inspirasi serta kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan pengetahuan sains dan teknologi terkini dalam kehidupan seharian, agar hasrat kerajaan untuk mentransformasi negara sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi akan tercapai.

Terdahulu