Pusat Sains Negara ‘tawan’ Kota Belud.

KOTA BELUD – Dewan Masyarakat Tun Said, diserbu lebih 2000 pelajar dari sekitar Kota Belud sempena dengan Program Singgah Sains 2019 @ Tamu Besar yang berlangsung pada 23 dan 24 Oktober 2019.

Program yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim, YB. Isnaraissah Munirah Majilis ini telah membuka mata masyarakat tempatan bahawa Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) adalah subjek yang sangat menarik untuk dipelajari.

Menurut YB. Isnaraissah Munirah Majilis, program seumpamanya ini bertujuan untuk menyebarluaskan program kesedaran dan pembudayaan Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, (ESTECC) di sekolah – sekolah yang merangkumi tiga sektor utama di bawah kementerian iaitu Sektor Tenaga, Sektor Sains dan Teknologi serta Sektor Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

“Program Pendidikan ESTECC di sekolah merupakan salah satu daripada 73 inisiatif MESTECC 2019 yang berperanan untuk mempromosikan Sains, Teknologi, dan Inovasi, (STI) melalui program jangkau luar MESTECC kepada pelajar luar bandar khususnya, dan di luar bandar amnya,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sains Negara, Mismah Jimbun memaklumkan, PSN sedaya upaya memberikan yang terbaik terutamanya komuniti di luar bandar untuk meminati STEM dengan kaedah pembelajaran diluar bilik darjah.

“Kita faham pelajar yang berada di Sabah dan Sarawak sukar untuk ke Pusat Sains Negara yang terletak di Kuala Lumpur, jadi dengan adanya program sebegini, kita bawakan pengalaman seakan – akan berada di pusat sains tetapi dengan skala yang kecil, tetapi penuh dengan aktiviti hands – on,” ujar beliau.

Program kerjasama ini turut mendapat sokongan penuh dari Pejabat Daerah Kota Belud, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud, Universiti Malaysia Sabah, dan Taman – taman Sabah.

Terdahulu