Ramai kunjungi Pusat Sains Negara

Gelagat orang ramai yang mencuba peralatan disediakan di Pusat Sains Negara semasa cuti Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Pusat Sains Negara merupakan antara pilihan orang ramai untuk dilawati pada cuti umum sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, kebanyakan pengunjung terdiri daripada warga kota yang tidak pulang ke kampung untuk menyambut lebaran.

Seorang pekerja swasta dari Selayang, Samsiah Mat Razali, 42, berkata, cuti umum adalah masa terbaik untuknya meluangkan masa bersama keluarga melawat di tempat menarik.

“Saya kerja kilang, jadi masa terluang bersama anak-anak tidak menentu, musim cuti sekolah pun kadang-kadang susah dapat cuti,” katanya di sini.

Seorang lagi pengunjung, Khider Abdul Rahim, 33, memberitahu, keadaan ibu negara yang masih lengang menyebabkan dia menggunakan kesempatan melawat Pusat Sains Negara.

“Saya datang ke sini untuk beri peluang kepada anak-anak merasai pengalaman beriadah sambil belajar. Sebelum ini ramai pengunjung, tidak berpeluang sertai program disediakan,” katanya.

Bagi seorang peniaga, Mohd. Ruzaizey Rozlan, 30, bekerja sendiri menyebabkan dia jarang mempunyai masa bersama anak-anak, tambahan pula isterinya bekerja di syarikat swasta.

“Saya pulang beraya di Kelantan. Jadi dengan ada baki cuti apabila kembali ke sini, saya ambil peluang melawat tempat pendidikan interaktif seperti Pusat Sains Negara agar anak-anak dapat berhibur sambil belajar,” katanya.

Kakitangan awam, Hamdan Mohamed Hashim, 45, berkata, dia hanya berpeluang bercuti setiap tiga tahun sekali dan sememangnya kesempatan yang ada digunakan untuk bersama keluarga.

“Saya guna masa yang ada untuk berhibur bersama keluarga melawat sekitar ibu kota kerana saya jarang dapat cuti dan kami pula hanya beraya di Kuala Lumpur,” katanya.

Seorang pengunjung dari Kedah, Sazrina Md. Isa, 42, berkata, dia memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi percutian sempena hari raya kerana kurang sesak berbanding hari-hari biasa.

“Saya berhari raya di rumah saudara-mara di sini, keadaan jalan raya lengang saya gunakan untuk bawa keluarga melawat tempat pelancongan sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pameran Pusat Sains Negara, Phyllis Lam berkata, sejak dibuka semula semalam berikutan cuti umum sempena hari raya, sambutan diterima amat menggalakkan.

“Biasanya musim seperti ini bilangan pengunjung meningkat kerana ibu bapa dan anak-anak cuti serentak,” katanya.

Kata beliau, banyak aktiviti disediakan di Pusat Sains Negara untuk menarik minat orang ramai antaranya program pendidikan.

“Selain itu, pengunjung juga boleh nikmati suasana taman luar yang membolehkan mereka bermain air dan melihat rama-rama serta pameran Dinosaur Live yang dilanjutkan sehingga Oktober depan.” katanya.

AKHBAR / NEWSPAPER : Utusan Malaysia
SEKSYEN / SECTION : Dalam Negeri
TARIKH / DATE : 24-08-2012
Pautan asal / Original Link

Terdahulu