RUNGKAI RAHSIA DI SEBALIK KETAKUTAN DI SCIENCE OF FEAR

Adakah rumah tinggal memberi persepsi seram kepada anda? Bagaimana pula tempat gelap, rupa hodoh dan bunyi-bunyian aneh? Adakah ianya menakutkan anda? Kajian saintifik menunjukkan bahawa perasaan takut sebagai emosi semulajadi manusia. Ia adalah naluri pertahanan diri yang dicetus apabila seseorang mendapati dirinya berada dalam situasi ketidakpastian atau terancam. Selain takut kepada kegelapan dan rupa hodoh banyak lagi perkara lain yang menakutkan manusia seperti ketinggian, haiwan dan serangga. Tetapi yang peliknya, bagaimana perasaan takut wujud terhadap perkara seperti yang disebutkan tadi tetapi tidak pada peralatan moden seperti kereta dan barangan elektronik yang boleh menyebabkan kecederaan.

Inilah yang cuba dirungkai di dalam pameran Science of Fear. Pameran bertemakan ketakutan ini dibawakan khas dari Tokyo, Jepun dan diolah mengikut budaya dan kepercayaan masyarakat Malaysia bagi memberikan impak yang maksimum. Pameran seumpama ini pernah dianjurkan di beberapa lokasi antaranya Niigata Science Museum yang mencatatkan 110,000 pengunjung pada kali pertama ia dianjurkan pada tahun 2010, Nagoya City Science Museum, The Pier-2 Art Center, Taiwan dan BEXCO, Korea pada tahun 2011 serta Okinawa Prefectural Museum & Art Museum pada tahun 2012. Terdapat 4 bahagian utama di pameran ini iaitu Abandoned House Area, Scientific Area, Observation Area, dan Experience Area.

Matlamat utama pameran Science of Fear adalah untuk menyingkap dan meleraikan persoalan tentang perasaan takut yang telah dibuktikan wujud disebabkan oleh peranan otak manusia. Ia bakal membuka minda masyarakat Malaysia yang terlalu mempercayai fenomena paranormal untuk melihat kejadian-kejadian aneh dan mistik yang boleh diterangkan melalui konsep-konsep sains melalui paparan elemen-elemen seram yang mampu mencetus perasaan takut dan emosi cemas dalam minda manusia.

Secara tidak langsung pameran sebegini memberi pembelajaran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) secara tidak formal dalam mendidik dan meningkatkan kesedaran STI di kalangan masyarakat. Pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi dari penjelajahan pameran ini dapat membuka minda terhadap STI dan merupakan pendekatan inovatif yang paling berkesan dalam meningkatkan kesedaran sains di kalangan masyarakat. Ini sedikit sebanyak dapat memberi persepsi positif terhadap kepentingan mendakapi STI dan seterusnya membantu menambah minat pengunjung terutama pelajar untuk memilih jurusan sains dalam pengajian mereka. Langkah sebegini akan membantu ke arah peningkatan bilangan pelajar aliran sains kepada 60 peratus berbanding 40 peratus bagi aliran sastera seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2010-2020 .

Bersempena pameran ini, majlis An Evening of Fear diadakan khusus bagi Ahli Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersama ahli keluarga masing-masing untuk merasai dan menerokai pengalaman menakutkan di Pameran Science of Fear. Majlis telah dirasmikan oleh YB Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pameran ini mula dibuka kepada pengunjung pada 30 Disember 2013 bertempat di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur dan akan berakhir pada 30 April 2014. Harga tiket bagi pameran ini ialah RM8 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak. Untuk sebarang info lanjut mengenai pameran ini boleh menghubungi Pusat Sains Negara di talian 03-20893400 atau melayari laman web www.psn.gov.my serta facebook Pusat Sains Negara.

Terdahulu