DCEN 1 kempunan, Jotos juarai Robot Tempur Malaysia 2019!

SUBANG JAYA – Selepas mengharungi pertembungan sengit di peringkat kumpulan selama 4 hari, Jotos dari Kolej Komuniti Batu Pahat berjaya merangkul kejuaraan pada pertandingan akhir Robot Tempur Malaysia 2019 dengan menewaskan DCEN1 dari Universiti Malaysia Perlis, UNIMAP semalam.

Sebelum Jotos dapat menikmati kemenangan itu, pasukan tersebut terpaksa berhempas pulas menahan asakan dan serangan bertubi – tubi dari jentera DCEN 1 yang memulakan serang hendap dari pelbagai sudut bagi melemahkan Jotos.

Seawal seminit pertempuran, jentera Jotos hanya mampu bertahan sehingga mengakibatkan bahagian kiri dan kanan jenteranya berkecai akibat hentakan padu yang diberikan oleh DCEN 1 menggunakan senjatanya tersendiri.

Hanya beberapa kali, kelihatan DCEN 1 diserang, namun strategi yang digunakan terhadap jenteranya terlalu lemah dan tidak memberi sebarang kesan.

Namun, sebaik sahaja death pit iaitu lubang di tepi gelanggan diturunkan, nasib tidak menyebelahi DCEN 1 apabila, jenteranya terjatuh ke dalam lubang berkenaan, sekaligus meranapkan impian DCEN 1 untuk menjuarai pertandingan Robot Tempur Malaysia 2019 edisi ke lima pada tahun ini buat kali pertama.

Melihatkan kepada aksi kedua – dua pasukan, ramai menjangkakan bahawa jentera yang dikendalikan oleh pelajar UNIMAP itu, akan kekal bertahan sehingga akhir perlawanan.

Pertembungan tersebut berakhir dengan kemenangan Jotos melalui kekalahan DCEN 1 yang gagal mengawal jenteranya sehingga masuk ke dalam death pit di bahagian tepi gelanggang.

Pertandingan akhir itu, disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, MESTECC, Datuk Seri Dr. Mohd Azhar bin Haji Yahya dan dihadiri oleh Pengarah Pusat Sains Negara, Mismah binti Jimbun.

Jotos membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000, piala pusingan, pingat serta sijil penyertaan.

Manakala, DCEN 1 yang merangkul tempat kedua, membawa pulang wang tunai bernilai RM3000, pingat sert sijil penyertaan.

Manakala tempat ketiga dan keempat masing – masing dimenangi oleh ADTEC C dari ADTEC Melaka, dan MES 88 dari UNIMAP.

Pertandingan ini menjadi platform untuk meningkatkan kelestarian pembangunan sosial negara dalam bidang robotik dan teknikal menerusi aplikasi pembelajaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, TVET dalam kehidupan seharian.

Berikut keputusan penuh pertandingan Robot Tempur Malaysia 2019:

JUARA
Jotos (Kolej Komuniti Batu Pahat)

NAIB JUARA
DCEN 1 (UNIMAP)

TEMPAT KETIGA
ADTEC C ( ADTEC Melaka)

TEMPAT KEEMPAT
MES 88 (UNIMAP)

KEJURUTERAAN TERBAIK
MES 88 (UNIMAP)

REKAAN TERBAIK
Athos (Kolej Komuniti Batu Pahat)

SAGUHATI
ADTEC A ( ADTEC Melaka)
ADTEC B ( ADTEC Melaka)
DCEN 2 (UNIMAP)
TODAK (Institut Latihan Perindustrian Mersing)