Konsep & Peranan

Pusat Sains Negara telah dibuka secara rasminya pada 29hb November 1996 oleh  Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Y.A.B Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.

Lokasinya terletak di sebuah kawasan yang aman, harmoni dan di kelilingi kehijauan semulajadi di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Bangunan Pusat Sains Negara merupakan sebuah mercu tanda kebangsaan melalui  rekabentuknya yang unik dan saintifk. Bangunannya menyerupai sebuah kon yang terpotong di kemuncaknya dan ditutupi dengan sebuah kubah geodesi.

Sebagai sebuah institusi pembelajaran tidak formal, institusi ini diharap dapat meningkatkan minat, penghargaan dan kefahaman orang ramai terhadap Sains dan Teknologi demi peningkatan ilmiah rakyat Malaysia.

Bahan pameran yang terdapat di Pusat Sains Negara terdiri daripada pelbagai tema yang dibahagikan mengikut kategori tertentu. Terdapat dua bahagian utama iaitu Sains Asas dan Teknologi.

Konsep keseluruhan pusat ini adalah untuk menghubungkan sains dengan nilai-nilai keagamaan, alam sekitar, dan aspek-aspek kehidupan, pengetahuan dan penggunaannya di dalam kehidupan seharian.

Pada tahun 2006, Pusat Sains Negara telah melakar satu sejarah baru dengan penubuhan cawangan pertamanya di Wilayah Utara. Projek pembinaan Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara telah bermula  pada Februari 2005 di tapak berkeluasan 5 ekar di daerah Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah.

Bangunannya direkabentuk berteraskan konsep jimat tenaga, mesra alam serta ruangan pameran yang dinamik. Hampir kesemua kerja-kerja susun atur persekitaran dan galeri pameran interaktif yang disediakan di bangunan ini difabrikasikan sendiri oleh kakitangan Pusat Sains Negara.

Dengan wujudnya kedua-dua pusat sains ini, lebih banyak bahan pameran dapat direka dan dikongsi untuk menarik, merangsang dan mendorong para pelawat untuk menanam minat aktif terhadap sains dan teknologi.

PUSAT SAINS NEGARA IS
CLOSED
FOR RENOVATION


----

PUSAT SAINS NEGARA
DITUTUP
SEMENTARA BAGI KERJA-KERJA PENAIKTARAFAN