Science Valley, penerokaan sains tanpa batas!

Science Valley iaitu galeri terbaharu di Pusat Sains Negara memfokuskan teori asas seperti alam semula jadi, fizik, kimia dan biologi boleh dimanfaatkan pelbagai peringkat umur.

Dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2 April 2019 lalu, sempena dengan Minggu Sains Negara 2019, membuka peluang kepada orang ramai menerokai sains dalam bentuk pameran hands – on, minds – on dan interaktif.

Malah, Pusat Sains Negara turut menyediakan persekitaran bersimulasi yang menarik dan menyeronokkan untuk pengunjung pelbagai latar belakang pendidikan sekaligus memudahkan mereka untuk memahami konsep sains yang dipersembahkan di Science Valley ini.

Science Valley yang hanya terdapat di PSN, membawa para pengunjung mengenali dan mempelajari isu-isu sains terkini serta aplikasi sains dan teknologi dalam kehidupan seharian.

Sebaik sahaja melangkah ke pintuk masuk galeri baharu ini, pengunjung akan merasai sendiri bagaimana suasana berada di hutan hujan tropika di Malaysia, yang disertakan dengan bunyi- bunyian unggas dan binatang liar.

Pengunjung kemudianya, dibawa merasai pengalaman menghadapi situasi bencana, Trapped in Disaster yang jarang sekali berlaku di Malaysia, tetapi sering kali melanda negara jiran seperti di Indonesia dan Filipina iaitu gempa bumi dan ribut taufan.

Pengunjung juga akan diterangkan tentang keajaiban manusia yang mempunyai 1001 rahsia, bermula dengan kelahiran seorang bayi sehinggalah tentang fungsi tubuh badan manusia.

Penerokaan sains tidak terhenti setakat itu sahaja, pengunjung turut didedahkan dengan konsep fizik yang ada pada Energy Race apabila perlumbaan kereta mini tidak memerlukan enjin mahupun bahan api, tetapi hanya menggunakan tenaga yang dihasilkan oleh manusia.

Galeri Science Valley ini mampu memberi banyak manfaat dan impak yang besar sebagai salah satu platform pendidikan tidak formal untuk memupuk minat pelajar dalam bidang STEM dan meningkatkan tahap kesedaran Sains, Teknologi dan Inovasi kepada masyarakat.