Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu Dijangka Siap Akhir Tahun

KUALA TERENGGANU, 16 Jan (Bernama) — Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) yang tertangguh, selepas mula dibina pada 2006 dengan peruntukan kira-kira RM76 juta, dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PSKT Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata kompleks yang terletak di tapak seluas kira-kira 50 hektar itu akan turut menempatkan Pusat Sains Negara (PSN) cawangan Pantai Timur.

“Apabila siap kelak, PSKT akan mempunyai kelengkapan yang sama dengan apa yang ada di PSN dengan tambahan peruntukan kira-kira RM40 juta.

“Segala kelengkapan dan keperluan di pusat itu kelak akan diisi secara berperingkat,” katanya ketika ditemui pada program ‘Cakap-cakap Sains: Jenayah dan Keselamatan ICT’ di sini Khamis.

PSKT kini bertempat di Planetarium di sini.

Mengenai PSN, Ahmad Farhan berkata ketika ini hanya negeri Kedah mempunyai PSN di Wilayah Utara manakala Terengganu akan menjadi PSN Wilayah Pantai Timur.

Katanya Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air Negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman telah berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengenai itu.

“Kalau PSN buka cawangan di sini, ia mampu menarik pelawat terutama pelajar dari Kelantan, Pahang dan juga Johor ke Terengganu,” jelas beliau.

Sementara itu Ahmad Farhan berkata sepanjang tahun ini PSKT akan menjalankan Program Cakap-cakap Sains melibatkan 20 program termasuk Cakap-cakap Sains mengenai Astronomi, Keselamatan ICT, Sains dan Inovasi, pelancaran Bulan Astronomi dan Bulan Sains Sukan.

“Kami mahu ajak masyarakat dan pelajar mengetahui bahawa kehidupan ini semuanya berkait dengan sains,” katanya.

— BERNAMA

Terdahulu